Siti Kini Temukan Cinta




LONDON: Walaupun kini beribu-ribu kilometer dari tanah air, penyanyi popular, Siti Nurhaliza masih dihantui soalan sama — sudahkan dia menemui cinta sejati?

Siti yang tiba di sini dua hari lalu untuk persembahan solonya di Royal Albert Hall pada 1 April ini, diajukan soalan itu ketika ditemu bual Siaran Dunia BBC oleh producer Indonesia, Yoko Sari.

“Mahu mencungkil rahsia, ya?” balas Siti yang memang biasa diajukan soalan yang sering bermain di bibir peminatnya.

“Ya, Alhamdulillah, Siti sudah menemui cinta. Cinta dengan kerjaya Siti dan juga dengan orang yang sekeliling Siti.

“Namun, buat cinta yang dimaksudkan anda, saya belum lagi memberi pertimbangan serius mengenai perkara ini,” katanya.

“Apakah ada bakat baru yang bakal mengambil tempat Siti?” tanya Yoko.

“Bagi Siti, kalau kita rasa kita bagus, ada orang yang lebih bagus, dan kalau kita rasa kita hebat, ada orang yag lebih hebat. Itu lumrah hidup. Memang ada penyanyi baru yang akan membawa kelainan, persembahan berbeza daripada yang sedia ada,” kata Siti.

Penyanyi 26 tahun yang kelihatan gembira melayani soalan Yoko yang diselangi gurauan itu, menjadi serius apabila menjawab mengenai nasib penyanyi.

“Dalam perjalanan hidup sebagai anak seni, memang ada banyak dugaan. Memang ada tanggapan negatif terhadap anak seni. Namun, Siti percaya apa yang kita lakukan bergantung kepada diri kita sendiri. Apa yang kita lakukan mestilah jujur dan ikhlas,” katanya.

Siti serta pasukannya dari SNP serta rakan niaga Putra World Trade Centre yang diiiringi Naib Presidennya, Ahmad Fadzli Yaakob, yang sama-sama menganjurkan persembahan solo ini, tiba di sini dua hari lalu untuk persiapan konsert yang sekali gus merayakan ulang tahun ke-10 kerjaya Siti dalam dunia hiburan.

Yoko juga bertanya mengapa Siti menyambut hari ulang tahun di London dan bukan Malaysia?

“Siti sudah banyak membuat persembahan dan tour di Malaysia. Dan semestinya Siti akan pulang dan membuat lebih banyak persembahan. Namun, Siti rasa Siti ingin mencuba pasaran antarabangsa dan dengan itu Siti datang ke London. Ini tapak pertama bagi Siti,” katanya.

Yoko juga mengalih perhatian Siti kepada isu politik, di mana hubungan antara Indonesia dan Malaysia terjejas baru-baru ini sehinggakan ada tunjuk perasaan di Indonesia.

Namun, dalam keadaan kemarahan terhadap Malaysia, ramai juga penyokong membawa sepanduk mengatakan mereka masih sayangkan Siti.

“Siti tak pernah rasa takut dan ragu-ragu untuk pergi membuat persembahan di Indonesia. Bagi Siti, muzik ialah satu keajaiban yang akan menyatukan kita semua,” katanya sambil menambah, dia masih ke Indonesia untuk membuat persembahan, berikutan peminatnya ramai di negara jiran itu.

Siti mempersembahkan sebuah lagu di dalam studio di Bush House untuk peminatnya di Indonesia, lagu berjudul ‘Bukan Cinta Biasa’ yang akan dimainkan dalam rancangan Info Muzika.

Selepas temu bual itu, Siti dan kumpulannya mengambil kesempatan cuaca indah di London untuk bersiar-siar dengan bas pelancong bagi menikmati keindahan kota ini.

Kehadiran Siti menarik perhatian ramai, terutama peminat dari Malaysia yang menghampirinya untuk mendapatkan autograf dan gambar kenangan.

Seorang daripada mereka ialah Siti Nurafidah, pelajar MA di London School of Economics yang akan ke Royal Albert Hall untuk menyaksikan persembahan idolanya.

Siti berkata, sambutan terhadap jualan tiket sangat menggalakkan.



Komentar:




Share your views...

0 Respones to "Siti Kini Temukan Cinta"

Post a Comment

 

© 2010 Raseco blog All Rights Reserved Thesis WordPress Theme Converted into Blogger Template by Hack Tutors.info